Monday, April 26, 2010

Selesaikan Masalah Menggunakan Mata Hati...


Sering kali kita dibelenggu masalah. Masalah yang kadang-kadang itu apabila dilihat dengan mata hati, maka akan datang penyelesaian dari dalam diri. Penyelesaian itu adalah ilham dari Allah buat hambaNya yang menadah tangan berdoa dan memohon untuk diberi penyelesaian atas satu masalah.

Ad-Dlahak r.anhu pernah mengatakan di ambil dari kitab Penenang Jiwa atau " Mukasyafah Qulub" karangan imam Al-Ghazali rahimahullah taala;

"Jika kita ini tidak diuji dalam masa 40 hari, maka darjat kita disisi Allah akan berubah".

Satu kata-kata hikmah bagiku dan sumber motivasi pemangkin jiwa rasanya. Seringkali disentuh tentang pelbagai masalah, manusia mencari punca dan memandang masalah itu terlalu lama. Bagiku dengan keterbatasan akal kurniaan Allah ini, kita seharusnya memandang dan mencari jalan penyelesaian bagi masalah itu, bukannya masalah itu sahaja tanpa tindakan "action".

Masalah yang dialami hanya tinggal masalah, jika tidak ditempa masalah itu dengan "kaifiyah" atau cara penyelesaian. Jalan penyelesaian atau "Al-Islah" ini satu perkara yang perlu dipandang tinggi, agar masalah yang dihadapi tidak terus reput dalam diri dan menjadi seperti buah yang tidak dimakan lalu busuk dimakan ulat. Selalunya masalah akan menjadi busuk atau reput adalah kerana masalah kejiwaan yang tidak ingin melakukan sesuatu tindakan untuk mencari penyelesaian. Sewaktu kita dilanda masalah atau berdukacita, apakah yang selalunya difikirkan pada waktu tersebut? Persoalan ini harus ditanya kepada semua umat manusia, kerana kita ini makhluk Allah yang diberikan akal, dan masalah-masalah ini datang sebagai penguji akal pemberian Allah.

Sudah tentu kita akan fikirkan mengenai bagaimana perkara ini boleh berlaku, atau kita berfikir kenapa ia berlaku kepada kita? Di sini saudara saudari, kita sebenarnya telah mencemarkan rukun iman yang keenam iaitu percaya kepada Qadha' dan Qadar sama ada baik atau buruk. Sekali lagi diriku menekankan i'timad dan kebergantungan kepada Allah sebenarnya perlu sangat-sangat utuh untuk insan bernama mukmin sejati. Kita seharusnya redha dengan masalah yang diberikan Allah dan perlu mengganggapnya sebagai tarbiyah diri, jiwa dan hati yang datang dari Allah. Andai langkah pertama dalam mengharungi masalah sudah salah, bagaimana mahu ke peringkat seterusnya.

Sebenarnya saudara-saudaraku, apa yang perlu di buat sewaktu mula menerima masalah adalah, redha dengan apa yang dihadapi. Apabila kita redha, maka perasaaan menyesal itu tidak akan timbul, kerana sesungguhnya tarbiyah dari Allah itu cukup berharga dan menyedarkan betapa kerdilnya kita disisi Allah dan betapa perlunya tawadduk, serta khudu' atau merendah diri itu dalam mengabdikan diri pada Allah.

Langkah seterusnya adalah dengan merujuk kepada dua pusaka yang diwarisi oleh kita dari Nabi S.A.W iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jika kita tidak melihat atau merujuk kepada kedua-dua sumber berkenaan dalam menyelesaikan masalah, maka akan terbitlah kesan atau masalah sampingan dalam menyelesaikan masalah yang sedia ada. Ilmu ini perlu ada, agar pembentukan watak dalam diri itu baik dan fikir yang sihat dapat dibentuk. Ketahuilah watak dalam diri itu sebenarnya dipengaruhi oleh ilmu yang dimiliki.

Sesudah merujuk kepada dua sumber utama dalam Islam, maka rujuklah pula pada murabbi-murabbi, para ulama' dan ilmuwan, agar kita menerima penyelesaian itu dari orang yang faqih dan mungkin orang yang lebih berpengalaman dalam menangani masalah-masalah ini. Bersangka baik pada ulama' amat-amat perlu bagi menebitkan rasa hormat pada guru, dan rasa cinta pada ilmu yang menjurus kepada usaha yang berterusan dalam mencari ilmu Allah yang Maha Luas. Ketahuilah saudara-saudari bahawa ilmu itu perlu dituntut secara berguru dan bersemuka "talaqi wal musyafahah" kerana dengan cara itu, kesilapan daripada mengintrepitasi ilmu Allah itu dapat dielakkan dan percambahan buah fikiran dapat berlaku. Semua ini telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w ketika mana baginda menerima wahyu agung iaitu Al-Quran dari Jibril A.S dengan kaedah atau cara "talaqqi wal musyafahah".

Sesudah itu, datang pula fasa yang seterusnya, iaitu tindakan yang perlu diambil untuk mengislahkan masalah sedia ada. Tindakan itu haruslah berlandaskan Quran dan Sunnah dan juga penilaian yang mantap dengan pemikiran yang kritis agar masalah yang sama tidak berulang lagi. Penulis juga ingin mencadangkan, jika masalah itu masalah yang dihadapi oleh sebuah jemaah atau kelompok yang ramai, maka syura atau mesyuaratlah.

Allah berfirman dalam surah As-Syura ayat 38 yang bermaksud;

"Dan urusan mereka (diputuskan) dengan bermesyuarat sesama mereka,"


Maka saudara saudari lihatlah hikmah melalui perintah Allah ini dan janganlah membuat keputusan secara terburu-buru bersendirian. Langkah yang seterusnya adalah dengan berdoa dan bersabar dengan apa saja ketentuan Ilahi. Sesungguhnya kita sudah pun berusaha, maka bertawakkallah pada Allah, agar usaha mencari redha Allah ini terus berada di bawah naungan ArasyNya. Moga dengan sedikit perkongsian pada kali ini dapat membuka minda kita dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Izinkan ku mengakhiri perkongsian kali ini dengan kata-kata hikmah buat renungan semua.

" Manusia sering merungut tentang masalah yang mereka hadapi, namun manusia tidak pernah berfikir yang masalah itu sebenarnya berpunca daripada tangan mereka sendiri"





Thursday, April 22, 2010

Sahabat di Sisi Rasul S. A. W

Sesungguhnya seorang yang bernama HAMBA semestinya taat kepada tuannya...Seorang yang bernama HAMBA semestinya patuh pada setiap suruhan majikannya... Di sinilah bermainnya satu istilah menghambakan diri pada yang maha mencipta, iaitu Allah Azza Wa Jalla... sekadar peringatan buat semua.. sahabat2 radiyallahhu anhum merupakan manusia yang paling hampir dgn Rasul s.a.w...di mana mereka ini, tunduk pada kemurniaan penyampaian nabi, hatta, untuk menggambarkan sifat tawadduk nya mereka ini, sehinggakan para sahabat, pada beberapa ketika, ketika dipersoalkan oleh Rasul s.a.w, mereka padahal sudah tahu jawapannya, namun atas dasar 'ikram' yakni memuliakan junjungan besar solawatullahhi wasalamuhu alaih, mereka diam, dan mengatakan " Allahhu wa Rasuluhu a'lam".

Persoalan yang mahu ditimbulkan sebenarnya, adalah, adakah kita sudah mula manjadikan sahabat-sahabat Rasul S.A.W sebagai ' role model' atau qudwah yang baik selain baginda Rasul sendiri? atau pun kita masih lagi mengagung-agungkan tokoh-tokoh dari barat yang selama ini kebanyakan umat Islam seantero dunia disogokkan dengan kelebihan, taraf ilmu, peribadi tokoh-tokoh barat, sedangkan tokoh-tokoh yang menjadi pendukung kepada agama suci ini diabaikan peribadinya, konteks hidupnya, kemurrniaan sahsiahnya... persoalan ini harus dijawab oleh semua orang Islam, di mana letaknya integriti agama kita,jika kita juga terus mengagung-agungkan tokoh-tokoh dari barat.

Ulama-ulama menyatakan yang kita ini tidak akan sampai kepada taraf sahabat walau sejauh mana hebat ibadat kita,kerana mereka ini hidup pada zaman Rasulullah, susah senang bersama Rasul, mereka jugalah yang mahu turut serta dalam peperangan bersama Rasul menentang orang kafir, dan mereka itu jugalah yang menerima, segala apa yang di sampaikan Rasul s.a.w sama ada Al-quran atau as-sunnah dengan penuh kepercayaan tanpa ragu sekalipun.. satu perbezaan yang diberitahu ulamak tntang sahabat dengan umat islam yang lain, perbezaan ini cukup menonjol, dan bukan semua umat Islam memilki tahap iman seperti mereka. Perbezaan itu adalah sahabat-sahabat ini, memandang setiap sesuatu yang berlaku itu dengan kebesaran Allah.. maka dimanakah kita wahai saudara saudari seagamaku dalam mengutamakan hikmah dan melihat kebesaran Allah dalam segenap kejadian? malah isu atau senario yang bagiku tidak sepatutnya ditimbulkan pada hari ini yang sedikit sebanyak telah merosakkan erti sebenar ukhwah dalam Islam, adalah perpecahan ketara dalam kalangan umat Islam sendiri.

Umar Al-khattab, khalifah kedua Islam selepas Abu Bakar, seorang yang tegas dalam perkara yang berkaitan dengan Islam. Kehebatannya terserlah, kerana ketegasan dan keberanian beliau itu digunakan untuk jalan kebenaran, seperti beliau telah mencabar untuk berlawan satu lawan satu dengan seorang tentera Quraisy.. tergambar dengan jelasnya bahawa 'i'timad' atau kebergantungan mereka ini pada Allah, adalah cukup-cukup tinggi. Malahan Allah sahajalah tempat mereka bergantung dan tiada yang lain selain Allah.. Kehebatan sahabat juga digambarkan oleh Khalid ibni Walid yang pada mulanya sebelum keislaman beliau, beliau merupakan ketua panglima perang bagi kafir Quraisy,namun atas dasar hidayah, maka beliau telah memeluk Islam dan mengepalai angkatan tentera muslimin dalam kebanyakan peperangan.. beliau yang amat mendambakan syahid di medan peperangan itu, dalam satu riwayat, apa yang didambakan tidak kesampaian,kerana beliau menghembuskan nafas terakhir di atas tmpat tidur beliau. ada juga yang meriwayatkan yang tiada satu inci pun, dari tubuh badan beliau yang mana tidak terdapat kesan luka atau parut.. Sungguh dasyat pengobanan sahabat-sahabat untuk Islam tercinta.

Renungi satu hadith yang menunjukkan Rasul s.a.w memuliakan sahabat-sahabatnya dan hadith ini adalah tentang ilmu pengetahuan Ali Karramallahhu Wajhah yang cukup luas.

Maksud hadith ini adalah;
"Aku adalah gedung ilmu, dan Ali adalah pintunya. Maka barang sesiapa yang mendambakan gedung ini, maka masuklah melalui pintunya.."

Begitulah saudara seagamaku. Sedikit renungan tentang betapa pentingnya kisah hidup para sahabat ini untuk dikaji, dihayati, diteladani, sesungguhnya mereka ini adalah yang paling hampir dgn baginda Rasul, dan mereka ini cukup tinggi darjatnya disisi Allah S.W.T.

Ku akhiri renungan ini dengan sebuah puisi bertajuk;

"BERAKHIRNYA KALAM INSAN"

Satu demi satu,
ku tatap dengan penuh pilu,
namun pergimu insan,
kerana janji Zat yang Esa,
kerana janji Yang Maha Pencipta,
kerana janji Pemilik Sidratil Muntaha,

Ditemukan satu titik,
Dari dua penghubung,
Antara dunia dan akhirat,
Antara hak dan kebatilan,
Antara nikmat dan kekufuran,
Antara syukur dan kesombongan,
Antara cinta dan kesenangan,
Dan antara HIDUP dan KEMATIAN.

Insan itu lupa,
Sudah menjadi asam garam dunia,
Persinggahan yang sementara,
Persinggahan yang bakal retak tak lama,
Persinggahan yang sudah puas di noda,
Oleh insan bernama manusia.

Wahai insan jangan kau lupa,
Kelibatmu di dunia ini tak lama,
Rintihlah dengan sepenuh daya,
Merayulah dengan sepenuh jiwa,
Maka detiknya bakal juga kan tiba,
Menghentak jiwa setiap bernyawa,
Untuk kembali kepada Tuhannya.

Perkemaskan iman demi cintaNya,
Mudah kau menyusuri titian siratNya,
Mantap melayari bahtera perhitunganNya,
Siap menghadapi janji-janjiNya,
Apa yang didambakan itulah RahmatNya,
Didiklah jiwa sepenuh masa,
Agar dambaanmu nanti digapai jua.



Tuesday, April 20, 2010

Apa benarkah perkahwinan itu indah? Bhg (ii)

Perkahwinan yang asalnya dari fikir, dan perasaan ingin merasa bahagia dan ketenangan telah menjadi kebanyakan impian bagi pasangan berkahwin. Maka perasaan ini terhasil dari satu keingingan dan keinginan ini membawa kepada langkah yang seterusnya iaitu ijab kabul yang kemudiannya menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita bukan mahram. Perasaan-perasaan ini dirasa dari sebelum perkahwinan sehingga selepas mendirikan rumah tangga.

Maka apabila dinyatakan tentang perasaan, wanita itu adalah lebih sinonim dengannya, tidak hairanlah menurut kajian wanita mempunyai 9 nafsu berbanding 1 akal. Namun ini tidak menjadikan golongan hawa ini terasing dari kaum adam. Malahan pula kaum Hawa mampu bersaing dalam segenap bidang seperti kaum adam dan Islam sendiri mengangkat wanita ke satu martabat yang tinggi selepas perutusan Rasul s.a.w. Dalam tulisan yang terdahulu, aku menyatakan tentang linangan air mata, egois manusia bernama adam dan hawa, cabaran untuk setia, dan lain-lain lagi merupakan dugaan-dugaan dalam mengharungi alam rumah tangga. Kebahagiaan yang diimpikan seharusnya lahir dari iman yang mantap, kerana dengan iman, lahirnya semua sifat mahmudah seperti sabar, tawadduk, redha dan lain-lain. Maka dewasa kini manusia terus hanyut dalam suasana kurangnya keutuhan iman dalam diri dan mengambil tindakan atau keputusan yang terburu-buru. Penulis merasakan ini masalahnya datang dari kurang penilaian dan pengamatan melalui mata hati oleh masyarakat moden zaman ini.

Di sini ada sebuah buku yang penulis cadangkan kepada kalian untuk membacanya, buku itu bertajuk 'Di Jalan Dakwah Aku Menikah', buku ini banyak membuat ku berfikir dan terus berfikir. Buku ini banyak menerangkan tentang hikmah perkahwinan dan juga satu masalah tentang pasangan yang tidak mahu berkahwin kerana terlalu materialistik. Ingin ku tekankan disini adalah tentang pandangan dan pegangan umat Islam kini yang terlalu memikirkan soal materealistik untuk berkahwin. Buku ini banyak membuka mindaku tentang perkara ini. Jadi aku persoalkan, di mana yakin kita terhadap rezeki Allah? terlalu memandang harta dunia sebagai ukuran. Mungkin ada yang menjawab seperti ini "nanti kalau berkahwin dalam keadaan tak "steady" lagi takut menzalimi isteri pula", bagiku inilah sebabnya masyarakat Islam kita ada yang lambat berkahwin dan tidak berkahwin langsung.

Cuba kita rujuk surah An-Nur ayat 32; terdapat satu definisi yang jelas atas masalah umat yang menyatakan tidak boleh berkahwin kerana tiada wang. Saudara saudari yang ku hormati. Rezeki Allah itu maha luas. Maka i'tikad ke atsNya juga perlulah berada pada tahap yang tertinggi. Berkahwin itu ibadat, dan sunnah Rasul, adakah Allah mahu menzalimi hambaNya yang mengikut perintahNya dan sunnah UtusanNya. maka renungkanlah dan jauhi sangka buruk dengan Rabbul 'Izzati. Sesungguhnya rezeki itu tugasNya, bukan kita.

Mungkin juga ada yang bakalan mendekatiku dengan persoalan-persoalan berbunyi
"habis tu, tak perlu kerja lah nak dapat rezeki, kahwin sahaja nanti Allah bg rezeki,"

Maka akan ku sahut dengan satu jawapan yang berdasarkan dalil Al-quran berbunyi

"faiza azamta fatawakkal alallah, innallahha yuhibbul mutawakkilin,'

bermaksud, " jika kamu sudah berazam atau berusaha untuk sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah menyukai golongan yang bertawakkal". Maka sahabat-sahabat, kita sebenarnya perlu selarikan usaha dengan tawakkal kita kepada Allah. Allah menjadikan setiap sesuatu itu pasti ada sebabnya. Maka disini perlu diselarikan asbab untuk memiliki sesuatu, dan Tawakkal kepada zat yang satu. Akan ku hiasi tulisan-tulisan setersnya dengan elemen-elemen perasaan yang lain dan aku harap dengan tulisan yang sedikit demi sedikit ini, dapat memberi manfaat kepada semua yang sudi membaca.. Amin ya rabb..

Renungkanlah Surah An-Nur ayat 32 yang bermaksud:

"Dan nikahlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak (menikah)dari hamba-hamba sahayamu yang laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan karuniaNya. Dan Allah Maha Luas Pemberiannya dan Maha Mengetahui'


Apa Benarkah Perkahwinan Itu Indah?

Salam semua, sekalung budi dan penghargaan buat semua yang setia menanti dan sudi singgah dalam persinggahan dakwah ini. Nescaya dakwah ini bukan tempat persinggahan saudara2, malah dakwah ini adalah medium berterusan sehingga terpisahnya roh dari jasad, maka pada masa itu, putuslah tanggungjawab berdakwah kepada kita mukallaf dan khalifah utusan Yang Esa...

Teringat aku sabda Rasul S.A.W, yang pada mula sabda baginda berbunyi;

"Golongan-golongan ini akan dipayung bawah rahmat di akhirat kelak"..maka baginda memberitahu bahawa terdapat tujuh golongan, dan salah satu daripada golongan yang bakal dipayung rahmat Allah S.W.T adalah mereka yang berkasih antara satu sama lain kerana ALLAH..

Aku mula berfikir, bagaimanakah yang dimaksud kan baginda "kekasih Allah" itu dengan berkasih antara satu sama lain kerana ALLAH? maka sungguh luas aku dapati pengertiannya dan bukan sahaja pengertian daripada istilah "berkasih" itu dapat disimpulkan sebagai pasangan bercinta sahaja, maka aku terus cuba mendalami walaupun dengan kedangkalan ilmu dan sedaya mana kemampuan diriku, maka ku kaji makna "berkasih" ini" dalam medium2 seperti pengamatan dan pembacaan, maka dengan kasih ALLAH kepada hambaNya yang begitu tagihkan ilmu pengetahuan ini, maka aku diberikan sekali lagi titis2 daripada ilmu ALLAH yang Maha Luas untuk ku memahami perkara ini.

Justeru, penegasan menurut pemahaman ku yang tidak seberapa, maka aku ertikan berkasih itu bukan sahaja menyahut suara cinta kepada pasangan sesama kekasih, tapi ia juga merangkumi ukhwah sesama saudara seagama kita, dan juga cinta kepada ibu bapa, bahkan banyak lagi yang aku tak dapat simpulkan bersama untuk kalian, maka ini datangnya dari kelemahan ku, maka aku berlindung dari Azza Wa Jalla dari segala kelemahan dan sifat malas..aminn... maka aku boleh ertikan berkasih, atau lebih senang dengan liqab cinta ini, satu perkara universal bagiku...interpritasi ilmu amat perlu dalam mengenal cinta... mungkin kalian tidak sependapat denganku dalam perkara mengenai cinta ini...namun bagiku manusia itu berhak berpendapat dan tidak salah berpendapat malah punya hikmah perkongsian kita yang sebegini rupa agar membawa hikmah susunan Allah buat hambaNya yang masih mencari dimanakah cinta sebenar.

Satu demi satu ku dalami, maka aku terjumpa pula istilah perkahwinan. Maka aku bertanya dalam benak kalbuku, adakah ini yang dinamakan cinta yang atau berkasih kerana Tuhan? aku kaji selidik sahabat-sahabat dan saudara seagama yang sudah bernikah...aku kembali kepada tajuk artikel ini " apakah benar perkahwinan itu indah".... aku berfikir sejenak, mencari satu jalan keluar bagi fikrah ku ini, maka ku tatap gelagat pasangan yang sudah berkahwin yang aku kenali.... maka aku dapati satu ketenangan yang diperolehi mereka, dalam berkeluarga, dengan anak-anak dan isteri.... satu ketenangan luar biasa aku jangka... maka ketenangan ini dari mana asalnya kalau tidak perkahwinan? maka timbul dalam hatiku untuk mengubah mereka yang bersikap pessimist atau berburuk sangka terhadap perkahwinan.

Ketenangan yang aku ingin cuba terangkan adalah ketenangan yang sama sekali tidak boleh dirasai, kecuali hanya dengan perkahwinan. Satu ungkapan rasa, fitrah cinta manusia, egois manusia keturunan Adam dan Hawa, linangan air mata, cabaran kesetiaan, kejujran sesama pasangan dan bermacam-macam lagi, aku kira dalam tulisan yang seterusnya... sejujurnya aku menulis ini tidak berniat untuk menyentuh mana-mana pihak kerana matlamat utama ku tetap dakwah...maka aku akan menjadi insan yang sangat bertuah jika ditentang dalam dakwah, ini kerana junjungan mulia Muhammad S.A.W pernah melalui situasi yang sama malah lebih teruk namun keihklasan baginda, untuk maslahah ummah, tidak pernah timbul langsung rasa jemu untuk menyampaikan risalah ALLAH ke pelusuk muka bumi...maka berkongsilah, nescaya perkongsian itu besar manfaatnya.

Maka aku akhiri perjalanan tulisan ku ini sekali lagi dengan sabda Rasul S.A.W yang bermaksud;

"Nikah itu sunnahku, maka siapa yang meninggalkan sunnah ku maka dia bukan dari kalanganku"...

moga menjadi renungan untuk semua dan dengan izin Yang Maha Berkuasa, akan ku rungkai setiap persoalan mengenai cinta, dalam pertemuan yang seterusnya.... insyaAllah....



Monday, April 19, 2010

Salam Cinta buat Saudara2

Salam perjuangan buat sahabat seagama dengan ku....

Moga hidayah ALLAH bersama kita... blog ini ku buat,hanya untuk jalan dakwah....maka akan ku terapkan dalam hidup ku ini, TIADA HARI TANPA DAKWAH.... buat pertama kalinya aku memanjatkan syukur buat yang Esa atas nikmat dan kurniaanya, dalam kesempatan ini aku dapat menulis...moga ini bukan yang terakhir dariku ya rabbi.... keduanya selawat dan salam atas junjungan mulia MUHAMMAD S.A.W junjungan mulia, bagiku tiada Islam tidak seutuh ini kalau perjuangan tidak dimulakan Rasul, Islam yang ku pegang, sesungguhnya dengan nama mu ya ALLAH, kehidupan ku menjadi indah..indah dan tenang dalam qalbuku...seterusnya yang ketiga, buat keluarga ku,yang tercinta, sesungguhnya kerja-kerja jalan dakwah ku tidak langsung dihalang oleh mereka,kerana usaha-usaha agama semata-mata utk Islam bakal beri manfaat utk semua.

Seterusnya saudara Muhd Syafiq yang telah membwa ku ke dunia blog ini, sahabat2 seperjuangan dari mula perkenalan sepanjang hayat ku, sehingga kini, muallim muallimah, ulama-ulama, shuyukh-shuyukh yang ku cintai... hanya ALLAH yang mampu membalas jasa kalian, kerana ilmu yang dicurahkan kalian kepadaku, maka beginilah adunan dari acuan yang kalian sediakan...sesungguhnya adunan ini masih mentah, masih perlu dibakar lebih banyak utk mendapat kelazatan hasilnya.... sekali lagi ku tekankn, ilmu ALLAH ini cukup luas medannya...maka mari wahai sahabat...terapkan ilmu dan perkasa kan dengan amal apa yang telah dipelajari...moga ilmu itu manfaat buat mu dan ummah wahai komrad2 sesyahadah denganku.

Sesungguhnya sahabat2, sepanjang perjuangan yang beronak duri ini,aku lihat,kalian lah tempat aku berkongsi suka duka, resah gelisah, tempat aku mengadu yang sepatutnya dan juga tempat aku berkongsi titisan-titisan ilmu dari yang maha esa...maka saudara-saudara ku, jgn letak kan usaha dalam agama itu sesuatu yang membebankan dirimu...berusahalah...jangan lihat natijah, sesungguhnya hikmah usaha kalian di nilai Rabbul 'Izzati sekali apa pun yang dilakukan di jalan Nya....maka didiklah diri, semerbakkan jiwa, tenangkan hati,dengan mengingati Nya...

Setakat ini dariku wahai sahabat2.... aku selitkan satu kata2 pujangga bersifat pembakar semangat buat kita pejuang mengejar redha Allah.... saidina Ali Karramallahhu Wajhah pernah berkata,
"barang siapa yang mengajar padaku walau satu huruf, maka aku sanggup menjadi hamba baginya"...
renungkan sahabat2... salam ukhwah dariku...moga kita terus istiqamah dalam usaha memartabatkan agama Allah di muka bumi...amin Ya Rabb.....