Monday, April 26, 2010

Selesaikan Masalah Menggunakan Mata Hati...


Sering kali kita dibelenggu masalah. Masalah yang kadang-kadang itu apabila dilihat dengan mata hati, maka akan datang penyelesaian dari dalam diri. Penyelesaian itu adalah ilham dari Allah buat hambaNya yang menadah tangan berdoa dan memohon untuk diberi penyelesaian atas satu masalah.

Ad-Dlahak r.anhu pernah mengatakan di ambil dari kitab Penenang Jiwa atau " Mukasyafah Qulub" karangan imam Al-Ghazali rahimahullah taala;

"Jika kita ini tidak diuji dalam masa 40 hari, maka darjat kita disisi Allah akan berubah".

Satu kata-kata hikmah bagiku dan sumber motivasi pemangkin jiwa rasanya. Seringkali disentuh tentang pelbagai masalah, manusia mencari punca dan memandang masalah itu terlalu lama. Bagiku dengan keterbatasan akal kurniaan Allah ini, kita seharusnya memandang dan mencari jalan penyelesaian bagi masalah itu, bukannya masalah itu sahaja tanpa tindakan "action".

Masalah yang dialami hanya tinggal masalah, jika tidak ditempa masalah itu dengan "kaifiyah" atau cara penyelesaian. Jalan penyelesaian atau "Al-Islah" ini satu perkara yang perlu dipandang tinggi, agar masalah yang dihadapi tidak terus reput dalam diri dan menjadi seperti buah yang tidak dimakan lalu busuk dimakan ulat. Selalunya masalah akan menjadi busuk atau reput adalah kerana masalah kejiwaan yang tidak ingin melakukan sesuatu tindakan untuk mencari penyelesaian. Sewaktu kita dilanda masalah atau berdukacita, apakah yang selalunya difikirkan pada waktu tersebut? Persoalan ini harus ditanya kepada semua umat manusia, kerana kita ini makhluk Allah yang diberikan akal, dan masalah-masalah ini datang sebagai penguji akal pemberian Allah.

Sudah tentu kita akan fikirkan mengenai bagaimana perkara ini boleh berlaku, atau kita berfikir kenapa ia berlaku kepada kita? Di sini saudara saudari, kita sebenarnya telah mencemarkan rukun iman yang keenam iaitu percaya kepada Qadha' dan Qadar sama ada baik atau buruk. Sekali lagi diriku menekankan i'timad dan kebergantungan kepada Allah sebenarnya perlu sangat-sangat utuh untuk insan bernama mukmin sejati. Kita seharusnya redha dengan masalah yang diberikan Allah dan perlu mengganggapnya sebagai tarbiyah diri, jiwa dan hati yang datang dari Allah. Andai langkah pertama dalam mengharungi masalah sudah salah, bagaimana mahu ke peringkat seterusnya.

Sebenarnya saudara-saudaraku, apa yang perlu di buat sewaktu mula menerima masalah adalah, redha dengan apa yang dihadapi. Apabila kita redha, maka perasaaan menyesal itu tidak akan timbul, kerana sesungguhnya tarbiyah dari Allah itu cukup berharga dan menyedarkan betapa kerdilnya kita disisi Allah dan betapa perlunya tawadduk, serta khudu' atau merendah diri itu dalam mengabdikan diri pada Allah.

Langkah seterusnya adalah dengan merujuk kepada dua pusaka yang diwarisi oleh kita dari Nabi S.A.W iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jika kita tidak melihat atau merujuk kepada kedua-dua sumber berkenaan dalam menyelesaikan masalah, maka akan terbitlah kesan atau masalah sampingan dalam menyelesaikan masalah yang sedia ada. Ilmu ini perlu ada, agar pembentukan watak dalam diri itu baik dan fikir yang sihat dapat dibentuk. Ketahuilah watak dalam diri itu sebenarnya dipengaruhi oleh ilmu yang dimiliki.

Sesudah merujuk kepada dua sumber utama dalam Islam, maka rujuklah pula pada murabbi-murabbi, para ulama' dan ilmuwan, agar kita menerima penyelesaian itu dari orang yang faqih dan mungkin orang yang lebih berpengalaman dalam menangani masalah-masalah ini. Bersangka baik pada ulama' amat-amat perlu bagi menebitkan rasa hormat pada guru, dan rasa cinta pada ilmu yang menjurus kepada usaha yang berterusan dalam mencari ilmu Allah yang Maha Luas. Ketahuilah saudara-saudari bahawa ilmu itu perlu dituntut secara berguru dan bersemuka "talaqi wal musyafahah" kerana dengan cara itu, kesilapan daripada mengintrepitasi ilmu Allah itu dapat dielakkan dan percambahan buah fikiran dapat berlaku. Semua ini telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w ketika mana baginda menerima wahyu agung iaitu Al-Quran dari Jibril A.S dengan kaedah atau cara "talaqqi wal musyafahah".

Sesudah itu, datang pula fasa yang seterusnya, iaitu tindakan yang perlu diambil untuk mengislahkan masalah sedia ada. Tindakan itu haruslah berlandaskan Quran dan Sunnah dan juga penilaian yang mantap dengan pemikiran yang kritis agar masalah yang sama tidak berulang lagi. Penulis juga ingin mencadangkan, jika masalah itu masalah yang dihadapi oleh sebuah jemaah atau kelompok yang ramai, maka syura atau mesyuaratlah.

Allah berfirman dalam surah As-Syura ayat 38 yang bermaksud;

"Dan urusan mereka (diputuskan) dengan bermesyuarat sesama mereka,"


Maka saudara saudari lihatlah hikmah melalui perintah Allah ini dan janganlah membuat keputusan secara terburu-buru bersendirian. Langkah yang seterusnya adalah dengan berdoa dan bersabar dengan apa saja ketentuan Ilahi. Sesungguhnya kita sudah pun berusaha, maka bertawakkallah pada Allah, agar usaha mencari redha Allah ini terus berada di bawah naungan ArasyNya. Moga dengan sedikit perkongsian pada kali ini dapat membuka minda kita dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Izinkan ku mengakhiri perkongsian kali ini dengan kata-kata hikmah buat renungan semua.

" Manusia sering merungut tentang masalah yang mereka hadapi, namun manusia tidak pernah berfikir yang masalah itu sebenarnya berpunca daripada tangan mereka sendiri"





No comments:

Post a Comment